Sindiket makanan luput tarikh tumpas
|
PENGUAT Kuasa KPDNKK Selangor memeriksa susu yang tamat tempoh untuk dijual semula dalam serbuan di sebuah banglo di Kampung Sungai Salak, Batu 10 Jalan Gombak, semalam. |
Keluarga jual susu, koko, minuman bijirin dikutip dari pusat pelupusan sampah
GOMBAK: Berhati-hati apabila membeli barangan makanan dan minuman berharga murah, seperti susu pekat, susu segar, serbuk koko dan minuman bijirin kerana satu sindiket dikesan mengumpul produk yang sudah luput atau tidak memenuhi piawaian, termasuk dari pusat pelupusan sampah sebelum dijual semula secara pukal.
Sindiket terbabit yang menjalankan kegiatan berkenaan sejak setahun lalu di sebuah banglo terpencil di Kampung Sungai Salak, Batu 10 Jalan Gombak di sini, dikatakan menjual produk pelbagai jenama itu di kedai runcit, pasar malam serta restoran, terutama di sekitar daerah ini.
Perbuatan sindiket itu terbongkar selepas banglo terbabit diserbu 10 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, kira-kira jam 10.15 malam kelmarin, hasil maklumat awam.
Dalam serbuan itu, pasukan berkenaan merampas 3,500 barangan bernilai RM30,000 termasuk pelbagai produk kegunaan harian, seperti sabun, lampin pakai buang, tuala wanita, ubat gigi dan losyen yang ada antaranya sudah luput tempoh lebih dua bulan lalu.
Ketua Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang, berkata ketika serbuan, dua wanita warga Indonesia termasuk seorang bertaraf penduduk tetap berusia 50 dan 34 tahun, sedang membersihkan botol berisi susu segar serta membuang tarikh luputnya.
“Siasatan mendapati kegiatan ini didalangi sebuah keluarga yang kita percaya mendapatkan bekalan daripada pihak lain sebelum dibersihkan, termasuk dibuang tarikh luputnya dan dijual semula sama ada menggunakan bungkusan baru atau tanpa sebarang pelekat.
“Kita dapati mereka turut memperoleh produk makanan yang belum tamat tempoh, tetapi tidak memenuhi piawaian seperti susu dalam tin kemek, dipercayai dibekalkan pengusaha kedai runcit dan orang dalam di kilang tertentu.
“Lebih mengejutkan apabila premis itu turut menghasilkan aiskrim yang tidak dapat dipastikan tahap kebersihan bahannya untuk dijual kepada orang ramai khususnya kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, sindiket itu meraih keuntungan berpuluh-puluh ribu ringgit tanpa menghiraukan kesan penggunaan produk itu terhadap kesihatan orang ramai.
Othman berkata, dua wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perihal Dagangan 1972, manakala seorang lelaki dipercayai dalang sindiket itu masih diburu.
MasyaAllah.... macam-macam sekarang nie.. ada jer cara untuk dapatkan duit dengan cara senang tanpa memikirkan buruk baiknya... Siap coklat/koko yang dah tamat tempoh pun dibancuh dan dijadikan aiskrim. Pastue penjaja jual kat budak2 sekolah... Adus..
|
OTHMAN menunjukkan aiskrim yang tidak dapat dipastikan tahap kebersihan bahannya. |
Em.. apa nak jadi yer... Hati-hatilah semua... tu kat Gombak, mana tahu kat kawasan kita pun ada sindiket ni kan??